Lot 7812 (PM1845), Bukit Cherakah, Jalan Kg Subang Baru U9, 40150 Shah Alam, Selangor

Duta Mahligai Impian Tidak Letak Harga

PETALING JAYA 29 Ogos -Aktor Norman Hakim tidak meletakkan harga apabila beliau dan isteri, Memey Suhaiza dilantik sebagai duta rasmi untuk Mahligai Impian, syarikat katering dan pengurusan majlis perkahwinan.

Norman sebaliknya memberitahu, sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi oleh syarikat Mahligai Impian Katering disalurkan bagi membantu rumah kebajikan anak-anak yatim iaitu Pertubuhan Iman Aman membuatkan beliau enggan meletakkan sebarang harga di atas pelantikan mereka suami isteri.

Norman berkata, membantu anak-anak yatim adalah ‘kenderaan’ yang ingin ditumpangnya yang disifatkan juga sebagai saham akhirat.

Oleh itu, kata Norman, terpulang kepada pihak pengurusan Mahligai Impian untuk menilai sendiri dari segi wang ringgit di atas pelantikannya dan isteri sebagai Duta Mahligai Impian.

“Bagi saya sekiranya bayaran sebagai duta yang diterima kelak adalah sejumlah yang besar maka dapatlah saya mengeluarkan zakat.

“Sekiranya bayaran yang diberikan itu tidak lebih, maka itulah rezeki kami,” katanya pada majlis sidang akhbar sempena pelantikan pasangan selebriti suami isteri ini sebagai duta rasmi Mahligai Impian di sini, hari ini.

Norman berkata, beliau bersetuju untuk pelantikan sebagai duta selepas isterinya tampil sebagai salah seorang talent dalam iklan komersial Mahligai Impian.

Bagaimanapun, Norman menegaskan, beliau lebih memikirkan untuk menjalin kerjasama jangka panjang dengan pihak Mahligai Impian selepas kontrak lantikan sebagai duta tamat selepas setahun.

Norman dan Memey telah menandatangi dokumen sebagai Duta Mahligai Impian untuk tempoh setahun, bermula pada Mac tahun ini dan tamat tempoh perjanjian pada Mac tahun hadapan.

 

Acara simbolik tandatangan sebagai perlantikan Duta Mahligai Impian Catering

Sementara itu, sebagai duta, pasangan ini yang bakal menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang keenam pada 24 September ini, akan diraikan dalam satu majlis persandingan anjuran Mahligai Catering Sdn. Bhd.

Majlis tersebut bukan diadakan kerana mengikut arus atau trend pasangan artis menyambut ulang tahun perkahwinan dengan bersanding di pelaminan sebaliknya jelas Norman, pengisian kepada majlis yang bakal diadakan kelak yang membezakan majlis ulang tahun perkahwinannya bersama Memey dengan selebriti lain.

“Pada saya, majlis pada hari itu nanti adalah peluang untuk kami berkumpul sebagai sebuah keluarga yang besar kerana anak-anak saya hasil daripada perkahwinan terdahulu, tinggal di asrama.

“Jadi sukar bagi kami untuk berkumpul dan merakamkan memori bergambar dan inilah peluangnya untuk kami sebuah keluarga yang besar, berkumpul dan berhimpun bersama,” ujarnya.

Paling manis, tambah Norman, pengisian pada acara yang bakal diadakan pada tarikh ulang tahun perkahwinannya dengan Memey kelak ialah majlis khatam quran dan hafazan 30 juzuk anak sulungnya.

 

Norman Hakim dan isteri, Memey Suhaiza bakal menyambut ulang tahun perkahwinan yang keenam pada 24 September ini

Sementara itu, pada majlis sidang akhbar yang sama, Pengarah Urusan Mahligai Impian, Abu Khamid Al-Ghazali berkata, pihaknya menyalurkan RM10,000 setiap bulan untuk Pertubuhan Iman Amal.

“Ini sebahagian daripada bantuan yang kami dapat hulurkan untuk anak-anak yatim dan hasrat kami untuk muncul sebagai syarikat katering nombor satu dalam negara mendapat keberkatan,” katanya.

Sebagai sebuah syarikat katering dan pengurusan acara atau majlis perkahwinan, Mahligai Impian yang memulakan perniagaan sejak tahun 2010 telah mengendalikan 5,000 majlis dan menyediakan sajian makanan kepada 5 juta orang.

Bermotokan Impian Anda Kami Penuhi, pastinya majlis ulang tahun perkahwinan Duta Mahligai Impian, Norman Hakim dan Memey Suhaiza yang berkonsepkan Islamic Vintage, disaksikan oleh 5,000 hingga ke 10,000 hadirin.

Walaupun dari pihak bekas isteri Norman Hakim masih belum memberikan jawapan sama ada hadir atau tidak pada 24 September nanti, pihak pengurusan Mahligai Impian terus menunggu kata putus daripada Abby Abadi dan suami. – UTUSAN ONLINE

By | 2017-11-21T04:10:45+00:00 November 21st, 2017|News|0 Comments

Leave A Comment

Check Our FeedVisit Us On FacebookVisit Us On InstagramVisit Us On TwitterVisit Us On Youtube